Time is precious



Santai

Thursday, November 4, 2010

Kalau jatuh, saya bangun kembali~~!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mulakan bicara manis salam wasilah buat para pembaca blog saya yang setia (saya sudah menggunakan ayat ini sejak di bangku sekolah sewaktu dipaksa rela untuk menyertai debat. Tidak berubah walau sedikit. ‘Copy and paste’ adalah perkara biasa dalam kehidupan pelajar kampus).

Tidak berapa lama daripada saat, masa dan tarikh ini (4:27 A.M., Jumaat, 5 November, 2010), peperiksaan akhir Universiti Malaya bagi semester ini bakal menjelma. Pelajar-pelajar kampus universiti perdana ini mula menyibukkan diri dengan pelbagai bentuk persiapan berupa persiapan akademik daripada sudut fizikal dan intelektual mahupun persiapan spiritual masing-masing. Saya tidak terkecuali.

Namun, yang menjadi persoalan dalam benak minda sedar saya, entah mengapa, di saat-saat sebegini terasa diri terdorong untuk mengarang. Maka terhasillah sebuah cerita yang bukan rekaan. Tetapi hanya sekadar sebuah pengalaman untuk dikongsi bersama. Tambahan pula, saya sudah mula bebas daripada hal-hal yang mengikat masa dan tenaga keupayaan saya. Jadi saya mencuri sedikit masa saya untuk bersama anda. (Ayat macam bagus…hehe…)

Sememangnya sepanjang semester ini saya telah melalui saat-saat genting terutamanya apabila mendapat permintaan mengajar tuisyen (saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebagai pengajar peribadi-personal tutor bagi subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Sains) yang bertubi-tubi daripada para pelanggan saya (sebenarnya pelanggan saya hanya 3 orang… (^_^) ). Lagi pula, kerap kali permintaan-permintaan tersebut diterima pada saat saya sendiri perlu mempersiapkan diri dengan siri-siri ujian bagi hampir kesemua subjek yang saya ambil di kampus. Lebih parah lagi apabila saya mengambil risiko untuk mengambil 5 subjek Matematik di samping 2 subjek lain pada semester ini! Syukurlah ramai kawan-kawan (adik-adik junior mungkin) yang membantu sepanjang menelusuri tempoh penuh ranjau dan onak duri ini.

Walau bagaimanapun, saya terpaksa penuhi segala permintaan tuisyen ini bagi mendapatkan beberapa liter petrol dan secupak dua beras buat mengisi perut si Mojacko dan tuannya. Walaupun begitu, saya sangat teruja dan terhibur setiap kali selesai mengajar kerana saya meletakkan usaha yang tinggi untuk memahamkan kembali sesuatu topik yang terkadang saya sendiri tak faham sewaktu didedahkan tentang kandungan topik itu suatu masa dahulu terutamanya bagi subjek Sains. Maka apabila berhadapan dengan saat-saat genting sebegitu, saya cuba juga ikhlaskan hati mengenangkan segala yang saya perbuat insyaAllah akan mencapai taraf ibadah jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh (itqan) dan diniatkan hanya kernaNya.

Natijahnya, alhamdulillah. Terlalu banyak yang saya pelajari. Saya belajar memberi. Memberi sekadar yang termampu dan saya sangat berpuas hati terutamanya apabila dapat mencicipkan sedikit wang buat umi abah tercinta dengan hasil titik peluh sendiri (tak berpeluh pun sebenarnya kerana rumah pelajar-pelajar tuisyen saya semuanya berhawa dingin (“,) ). Tidaklah banyak mana pun bayaran yang saya terima. Terkadang rasa malu untuk menghulurkannya kepada umi abah. Lalu apa yang saya boleh buat ialah menumpang wang cicipan kakak (kredit kepada Kak Chah) buat mereka.

Saya juga belajar untuk mengurus waktu dengan baik. Sangat penting untuk saya membahagi-bahagikan waktu dengan adil dan saksama antara pelajaran dan pekerjaan. Selain itu, saya diberi pelajaran daripada pengalaman ini, bagaimana untuk berdikari. Alhamdulillah, saya diberi peluang menginap di Kolej Kediaman 12 pada semester ini. Dengan yuran kolej yang agak tinggi (RM900++), beserta Mojacko yang masih berbaki bayaran RM500++ setiap bulan untuk tempoh tidak kurang daripada 5 tahun lagi, abah dah habiskan lebih kurang RM1500 untuk saya seorang! (Saya merupakan anak ke-5 daripada 6 beradik dan saya adalah satu manusia yang paling banyak ‘perabih boreh’ umi dan abah. Maafkan Annur ye umi dan abah…=(… ). Jadi dengan umur yang semakin matang, terasa malu yang amat untuk meminta-minta lagi daripada mereka dalam keadaan kawan-kawan yang seperingkat dengan saya sudah mula membuatkan ibu ayah mereka mula mengusap-usap perut kesejukan dan tersenyum lebar dengan kerjaya anak masing-masing. Lalu, wang yang saya perolehi hasil mengajar beserta beberapa perniagaan yang lain itulah yang saya gunakan sebagai duit poket (makan, petrol Mojacko, fotostat, cetakan dan sebagainya).

Terima kasih ya Allah. Dengan segala kudrat yang ada, berbekal rayuan dan rintihan dalam doa dan tawakal kepada Allah, tiada apa yang mustahil bagiNya dan bagi kita. Persoalannya, adakah kita benar-benar yakin dengan janji Allah serta kemampuan diri kita? Tak kenal maka tak cinta. Kalau dah kenal pasti bercinta. Saya sudah kenal kemampuan diri saya dan Mojacko (nak kena masukkan juga nama dia, takut merajuk pula…hehe). Lalu saya mula jatuh cinta dengan diri saya (dan Mojacko) dan lebih menghargai erti hidup.

Justeru, bersempena dengan peperiksaan yang bakal tiba, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melontarkan kata-kata maaf yang tidak bertepi kepada seluruh makhluk bernyawa di alam ini di atas segala khilaf diri yang penuh dengan kekurangan. Saya juga ingin menyeru kepada anda (yang masih di bangku sekolah), anda (yang bakal menduduki peperiksaan akhir semester seperti saya) dan anda (yang sudah melangkah ke alam kerjaya) untuk kita sama-sama merayu dalam rintihan doa, terus berusaha mendapatkan yang terbaik, berikhtiar seterusnya bertawakal kepada Sang Pencipta. Manfaatkan masa yang ada seoptimum mungkin dan yakinlah dengan potensi diri serta pertolongan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Mudah-mudahan diberikan yang terbaik sepanjang kita diberi pinjam nafas di muka bumi Allah ini dan di negeri hakiki-akhirat kelak serta diberikan kebahagiaan hidup dalam redhaNya.

"Ya Allah, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir denganMu. Wahai yang Maha Memberi, berikanlah kami rezeki yang halal dan berkatilah atas setiap apa yang kami lakukan. Jika dengan kejayaan, kami dapat merasa dekat denganMu, maka Kau jadikanlah kami dari kalangan hamba-hambaMu yang berjaya ya Rabbi. Namun jika sebaliknya, maka Kau tangguhkanlah ia. Sesungguhnya Kau lah yang Maha Mengetahui setiap sesuatu...ameen"

Akhir kata, semoga tulisan ini bermanfaat buat anda. Terima kasih di atas komitmen dan perhatian anda membacanya. Segala yang baik dan buruk itu datangnya daripada yang Maha Esa cuma yang buruk itu disandarkan kepada diri saya yang penuh dengan kelemahan.

Sekian sahaja setakat ini, saya sudahi dengan wabillahi taufik wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

“Each of us has our own potential for which sometime we may not knowing it until we do something that we NEVER did before. Dear friends, we have to go BEYOND our potential. InsyaAllah He will show us the way and lead us to Jannah (the paradise) as long as we are not breaking the rule of Islam…let’s strive for MARDHATILLAH (the redha of Allah)”

-Penulis merupakan pelajar tahun akhir, jurusan Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Matematik) (BscEd), Fakulti Sains, Universiti Malaya.

2 comments:

Anonymous said...

selamat bermujahadah kak annur... rindu akak.. :)

amar said...

teruskan usaha, allah sentiasa bersama kita, cuma berharap, kita tak lupa akan DIA